06 September 2012

SriKaNDi CiNtAkU - part 21

     Malam bertandang lagi. Aku berehat di ruang tamu manakala yang lain sibuk mengemas pinggan mangkuk. Budak-budak yang ada pulak tengah buat sesi "mengemas" coklat yang ada. Tergelak aku apabila melihat ateh berebut coklat yang cantik, yang terukir gambar dia dan tunangnya, dengan anak-anak along. Mericau mulut ateh memberi amaran bahawa coklat berukir cantik itu semua miliknya. Alah, budak-budak. Kalau dia kata nak, dia nak jugak.
     " Faiz, kamu nak gigi kamu rosak lagi ke?" soal ayahnya, Syahran, suami along. Faiz yang sedari tadi memujuk mak atehnya, tersengih-sengih bila ditegur begitu.
     " Kenapa, long?" soal angah.
     " Minggu lepas baru pergi buat rawatan gigi. Ini nak makan coklat pulak!" abang Syahran membebel. Ateh tersengih.
     " Haa...memandangkan Faiz dah buat rawatan gigi, maka, coklat ini ateh yang punya," ateh menyakat. Muncung Faiz panjang kembali.
     " Bagi jelah kat budak-budak tu, Muni. Rimas mak dengar kamu bergaduh," bebel emak yang datang dari arah dapur. Kemudian along dan kak ngah datang menatang dulang minuman dan bihun goreng. Munirah tersengih.
     " Jangan dibagi pada Faiz dengan Nisha tu, ateh. Deme sakit gigi malam karang," kata along sambil mengendong Diyana. Nisha menjeling emaknya. Marahlah tu. Namun hati mak saudara mana yang kejam. Ateh memberi jua semua coklat hantaran kepada anak-anak saudaraku, dan dia cuma mengambil beberapa jenis sahaja. Kemudian dia bangun lalu masuk ke dalam bilik untuk menyimpannya.
     " Dah makan, plastik coklat jangan nk sepah-sepahkan. Buang dalam tong sampah kat luar tu. Penat opah kamu nak menyapu nanti," leter along kepada semua anak-anak yang sedap mengunyah coklat. Aku tergelak. Adam dan abang Syahran ralit menonton berita.
     " Uih? Rajin beno mak kamu menggoreng bihun," tegur abah sebaik saja dia keluar dari biliknya. Emak cuma menjeling.
     " Rajin apanya? Ini lebihan bihun petang tadi, saya panaskan balik," jawab emak. Abah duduk bersama kaum lelaki. Aku bersandar pada dinding lalu pejam mata apabila kepala pening sedikit.
     " Kamu balik waktu bila esok, achik?" soalan emak membuatkan aku tersentak. Emak mencuit pehaku lalu duduk disebelahku.
     " Dalam pukul 11 pagi kot," jawabku. Sebenarnya aku sendiri tidak pasti waktu yang ditetapkan oleh Adam untuk pulang ke KL esok.
     " Awalnya. Tak sempat tunggu makan tengahari ke?" soal kak ngah.
     " Orang ikut driver, mak. Kalau dia kata lepas makan, lepas makanlah kami balik," jawabku lagi. Semua sedang menjamu selera sambil menonton tv. Aku tiada selera lantas meminta diri untuk masuk tidur dulu. Emak memandangku dengan penuh hairan, kemudian pandangannya dihalakan ke arah Adam yang laju menyuap bihun goreng.
     " Adam? Kenapa May tu?" soalan emak membuatkan Adam tersentak. Angah pantas menepuk belakang Adam perlahan, dan kak ngah menghulurkan air minuman kepadanya.
     " Makan tu cuba perlahan-lahan. Tak ke mana pun bihun tu, ada banyak lagi kat dapur," perli emak membuatkan semua ketawa.
     " Dia migrain, mak. Sejak mula mengandung, dia kerap sakit kepala," jawab Adam selepas berdehem seketika. Emak mengangguk. Bimbang di hati bertandang lagi. Risau. Adam yang tidak mengesyaki apa-apa, meneruskan suapannya.
     Selesai makan, dan mengemas semuanya, Adam meminta diri untuk masuk berehat. Along dan kak ngah pun masing-masing sudah masuk menidurkan anak-anak mereka. Yang tinggal cumalah emak, abah, abang Syahran, angah dan adik-adikku, Muzzaid dan Mazlan. Munirah awal-awal lagi sudah hanyut dibuai mimpi.
     Terganggu lenaku apabila terasa Adam memelukku dari belakang. Aku memegang tangannya yang sedang memegang perutku. Adam mengucup leherku dan memelukku erat.
     " Sedap tidur?" soal Adam.
     " Lagi mau tanya?" soalku kembali. Dia tergelak.
     " Kenapa masuk tidur awal? Pening lagi?" soalnya lagi.
     " Tak, tapi tak selesa dok ramai-ramai," jawabku. Adam menguap.
     " Esok nak balik pukul berapa?" soalku pula. Dia mengumam.
     " Kalau nak balik awal nanti mak mesti akan suruh balik lepas makan. Nak tak nak kena ubah masa la, lepas makan," jawabnya. Aku diam.
     " Kenapa, yang?" soalnya semula.
     " Takde apa-apa," jawabku sambil mengeratkan pelukannya. Aku tersenyum dalam dakapan Adam dan tak sampai sepuluh minit, kedengaran dengkuran halus Adam.
*********************************************************************************************
     Adam memasukkan beg baju kami dalam bonet kereta dan menutupnya. Aku bersalaman dengan semua ahli keluargaku yang ada. Along pun bersiap-siap untuk pulang ke Rawang, manakala angah nak pulang ke Sungai Besi. Ateh tunggu kedatangan tunangnya untuk membawa dia pulang ke KL. Selepas mengucapkan selamat jalan, kereta kami meluncur laju menuju ke lebuhraya.
     Sepanjang perjalanan dari kampung menuju ke KL, aku lebih banyak mendiamkan diri dari berbual. Penat masih terasa. Sesekali Adam menoleh ke arahku.
     " Yayang? Are you okay? " soalnya. Aku menoleh.
     " Kenapa? Nampak sayang macam tak okay ke?" soalku.
     " Tengok muka macam penat sangat," katanya.
     " Adoi, bang. Mana ada majlis yang tak penat badan?" soalku. Dia ketawa.
     " Ada! Majlis kita dulu," perlinya. Aku cuma menjeling tajam. Dia terus ketawa. Sukalah tu, dapat kenakan aku ni! Mentang-mentanglah majlis pertunangan aku tak macam majlis Ateh, kata hatiku.
     " Lupa abang nak bagitahu semalam. Esok beberapa orang staff kita ada kursus di Port Dickson, selama tiga hari," katanya. Aku memandangnya pelik.
     " Kenapa Nad tak bagitau sayang apa-apa pun?" soalku.
     " Abang yang tak bagi," jawab Adam. Aku menjeling lagi.
     " Kursus pasal apa?" soalku.
     " Kursus Constructing Excellence in Self Development. Tiga hari dua malam di Ancasa Hotel," katanya. Aku mengumam. Dah lama rasanya tak pergi kursus ni.
     " Nama abang, Nad, Azie, Zain dan Imran yang kena pergi," jawabnya selamba. Alaa...nama aku takde. Benci betul! Aku memasamkan muka. Nak buat macam mana? Ayah mertua aku yang buat pilihan macam ni, hatiku membebel.
     " Sayang pergi ofis sendiri lah lepas ni," kataku dengan sedikit sayu. Adam ketawa. Mamat ni, main gelak-gelak pulak. Sekeh kang! Ops, dosa-dosa..! Ampunkan aku, Ya Allah!
     " Kenapa? Dah malas nak drive sendiri?" soalnya. Aku menjeling. Jelingan itu mengundang kesepian sehingga kami tiba di rumah.
     " Tolong kemaskan beg baju abang, boleh?" kata Adam sebaik saja dia menutup pintu utama. Aku yang baru hendak melangkah anak tangga, menoleh.
     " Hurm, yelah!" jawabku lalu terus naik. Adam tersenyum sendirian.
*********************************************************************************************
     Adam yang baru keluar dari bilik air, tercengang melihat aku mengemas beg pakaiannya. Dia menghampiriku sambil mengesat rambutnya yang basah.
     " Kenapa guna beg kecik ni?" soalnya. Aku yang tunduk, mendongak. Kata 3 hari je kan? Pasal apa nak beg besar-besar pulak ni? Aku menjungkit kening.
     " Yelah, mana nak tahu abang nak beli banyak cencalok ke, souvenir ke, boleh jugak sumbat dalam beg besar," katanya sambil tersengih. Aku terus melipat 3 helai kemejanya.
     " Abang pergi naik bas persiaran ke?" perliku. Dia menjulingkan matanya. Dah tahu nak naik BMW 'jerung' dia tu, tak payahlah berlagak macam susah sangat nak bawak segala benda tu! hati aku mula membebel.
     " Yelah, yelah! Naik kereta, okey?" jawabnya sambil berlalu ke meja kerjanya. Laptop dibuka seterusnya terus check emel. Aku terus melipat baju seterusnya memasukkan ke dalam beg. Selesai semuanya, aku mencapai tuala lalu menuju ke bilik air. Terasa segar apabila tubuh badan disirami air suam. Selesai mandi, aku keluar dengan kemban kain batik. Sambil lalu di belakang Adam, aku mengesat rambut yang basah, dan mencari baju tidur. Adam terus menoleh.
     " Amboi! Dah macam perempuan melayu terakhir je ni," perlinya. Aku menoleh lalu tersengih. Apa taknya, dah tahu sangat pandangan mata encik suami tu, memang dia takkan menoleh ke arah lain selagi aku tak berbaju sepenuhnya.
     " Tengok apa?" soalku sambil mengeringkan rambut. Dia tergelak.
     " Tengok isteri Adam Usyair," jawabnya bersahaja. Aku mengekek.
     " Tak payah berdalih. Tahu sangat tengok apa. Pantang betul tengok sayang berkemban, biji mata tu macam nak terkeluar," perliku. Dia tergelak, lalu bangun menghampiriku yang sedang duduk di atas katil. Baru saja aku ingin menyarung baju tidur, tangannya menghalang. Dia duduk di sebelahku.
     " Habis tu, abang nak tengok siapa lagi? Kalau abang tengok orang lain berkemban, yayang cemburu, lepas tu dosa pulak, kan? Lebih baik abang tengok isteri abang sendiri. Dah sah-sah halal bagi abang," jawabnya sambil memegang tanganku. Aku mencebik.
     " Dah, jangan nak buat wayang kat sini. Pawagam dah tutup. Tepi sikit tangan tu, nak pakai baju ni," balasku. Dia mendekati, semakin rapat, dan rapat, dan akhirnya hidungnya menyentuh pipiku. Aku diam.
     " Kalau abang tak nak tepi?" soalnya, dengan suara yang menyeramkan. Haha.
     " Sayang nak tidur!" pantas aku bergerak untuk mencapai bantal namun tangannya lagi pantas dariku. Erat memegang tanganku, dan aku kembali ke posisi asal.
     " Kalau abang tak bagi yayang tidur?" soalnya lagi. Kali ini aku merasakan tindakannya lain dari tadi. Alaa, part ini yang tak berapa nak best, hatiku berkata-kata. Aku menunduk. Dia mendekati sehingga terasa hembusan nafasnya di pipiku.
     " Wanginya rambut yayang," katanya sambil membelai perlahan rambutku yang basah. Aku mendongak memandang wajahnya kemudian aku menjulingkan mata. Dia terkejut lalu menginjak ke belakang sedikit.
     " Oih? Apa ni, yang?" soalnya. Aku tergelak.
     " Pakai syampu Sunsilk sebab tu wangi. Abang tu mana reti pakai syampu, nasib baik rambut tak panjang macam rambut sayang," aku menjawab, mengelakkan tindakannya sebentar tadi. Dia mencebik.
     " Eleh, ingat abang tak pakai syampu ke? Nah, cium rambut ni!" katanya lalu terus baring di ribaanku. Tergamam aku seketika namun aku senang melihat dia manja sebegini. Aku membelai rambut pendeknya seperti rambut seorang askar, dan menarik sedikit membentuk gaya spike.
     " Wangi tak?" soalnya dengan muka dihala ke perutku.
     " Busuk! Dah, bangun!" jawabku sambil menolak kepalanya. Dia ni pulak, sengaja menyakitkan hati aku dengan memberatkan kepalanya. Tolak punya tolak, kepalanya terhantuk sedikit pada perutku.
     " Adoi!" aku mengaduh. Pantas dia bangun, panik.
     " Yayang, kenapa ni? Okey tak?" soalnya cemas. Aku menjeling geram, sambil memuncungkan mulutku.
     " Kepala batu betul!" aku menjawab. Dia diam lalu tangannya mengusap perlahan pada tempat yang terkena kepalanya tadi.
     " Sorry, baby. Ayah tak sengaja, sayang. Kesian ibu, sakit," pujuk Adam pada anak di dalam perutku. Aku yang hampir tergelak, menoleh ke arah lain. Kemudian terasa sayu apabila Adam mencium perutku yang semakin membuncit. Aku membelai rambutnya, membuatkan dia bangun.
     " Pergilah tidur, bang. Esok nak jalan jauh," kataku sambil mencapai baju tidurku. Adam bangun lalu menutup laptopnya, kemudian terus menutup lampu. Aku yang sudah berbaring melihat dia berjalan dalam gelap, kemudian dia merebahkan badannya di sebelahku. Dia menarik aku ke dalam pelukannya, dan mengeratkan pelukan. Aku tenang dalam pelukannya dan mata semakin layu. Terasa diri semakin di awang-awangan apabila terdengar Adam memanggil namaku.
     " Maysarah," panggilnya perlahan. Aku yang mamai cuma mengadap ke arahnya dan memeluknya erat. Adam mengeluh.
     " I'm sorry, ganggu sayang. Esok abang nak pergi kursus 3 hari ni. Boleh abang dapatkan penawar bagi rindu abang nanti?" soalnya. Aku yang kurang jelas mendengar butirannya, cuma mengumam sambil mata terpejam. Adam tergelak, melihat aku langsung tidak sedar.
     " Mengantuk betul dia," omel Adam perlahan sambil mencium pipiku. Mulanya aku rimas ada orang mengganggu tidurku, lalu aku menolak perlahan wajah Adam. Lama-kelamaan, aku sendiri terbuai dengan belaian Adam.
                        ****************************************************************************
     Sesudah solat subuh, aku turun ke dapur untuk menyiapkan sarapan untuk Adam. Pergerakan aku sedikit perlahan bagi mengimbangi tubuhku yang semakin chubby. Kemudian, Adam turun dari atas, dan terus menuju ke meja makan. Aku memandangnya yang tersengih gatal.
     " Apa sengih-sengih?" soalku sambil menuang nescafe panas ke dalam cawannya.
     " Eh? Sengih pun salah ye?" soalnya sambil mencapai pinggan nasi gorengnya. Aku menjeling lalu duduk bertentangan dengannya.
     " Pukul berapa nak pergi ofis?" soalnya.
     " Pukul 8.30 kot. Kenapa?" soalnya. Matanya memandang ke arah jam dinding, baru pukul 7.15 pagi. Aku terus makan tanpa mempedulikan apa yang difikir oleh encik suami.
     " Semalam nyenyak tidur?" soalnya sambil tersengih. Aku menjeling lagi. Lama-lama mata aku pun boleh besar secara automatik macam ni, asyik menjeling je.
     " Takde keje sangatlah tu!" aku menjawab.
     " Ate, dah panggil pun dok hurm, hurm aje. Abang pun teruskan jelah! Ingatkan sedar," katanya lalu tergelak. Merah padam mukaku. Mana taknye, waktu aku bangun subuh tadi, kain batik aku dengan baju tidurnya sudah bergumpalan di hujung katil. Nak cakap apa lagi kan? Takkan nak marah? Capai jelah apa yang ada untuk ke bilik air.
     " Mengada-ngada!" jawabku, kehabisan modal.
     " Mengada pada isteri sendiri, tak ape," jawabnya lalu gelak lagi. Aku meneruskan suapan sehingga selesai, kemudian aku membawa pinggan ke sinki lalu mencucinya. Selepas itu aku ingin beredar ke bilik untuk bersiap.
     " Nak ke mana?" soalnya. Aku yang baru memijak anak tangga, menoleh padanya yang sedang makan dengan berselera.
     " Naiklah, bersiap! Kenapa?" soalku hairan. Dia tersenyum lalu menghirup nescafe sebelum menyambung bicara.
     " Abang nak mintak tolong ni, boleh tak?" soalnya. Aku menongkat siku pada pemegang tangga sambil memandang ke arahnya.
     " Nak mintak tolong apa lagi? Semalam tu kan dah tolong," jawabku sambil menekan perkataan 'semalam' kepadanya. Adam seperti selalu, cuma ketawa. Haih!
     " Itu bukan tolong, itu memang wajib! Haha," jawabnya. Aku mula merasakan pipiku panas.
     " Dah tu, nak apa?" soalku lagi.
     " Tolong kemas baju yayang sekali dengan baju abang, masuk dalam 1 beg besar. Terima kasih," katanya lalu tersengih. Aku bercekak pinggang lalu menerpa ke arahnya sambil menjegilkan mata besar-besar. Dia terperanjat, pantas bangun dan berlari ke arah lain. Sesi kejar-mengejar sedang berlaku di ruang dapur. Adam ketawa sambil mengusung pinggannya bersama. Aku berhenti mengejar lalu bercekak pinggang. Geram.
     " Yang, jangan berlari. Kang terberanak kat sini kot," usiknya sambil buat muka tak bersalah. Aku memegang kerusi.
     " Abang ni kan! Kenapa tak cakap semalam?" soalku dengan nada yang hampir tinggi. Dia tersengih.
     " Saja, nak buat yayang terkejut. Hehe," katanya sambil meniru gayaku, menunjukkan tanda peace kepadaku. Ya Allah, ada suami macam ni lama-lama kurus jugak aku!
     " Main-main betul!" tukasku geram.
     " Mana ada abang main-main? Yayang tu je yang tak nak check emel. Bukannya si ateh tu takde laptop," katanya. Aku menjeling.
     " Dah tu, tak reti nak bagitahu?" soalku. Dia gelak. Perlahan-lahan menghampiriku.
     " I'm sorry, okey? Sekarang pergi kemas baju. Kita kena gerak ke ofis dulu, jumpa yang lain-lain sebelum terus bertolak ke Port Dickson," katanya sambil memeluk bahuku, kejap. Aku menolak tangannya sambil berlalu. Bengang.
     " Kemas dapur, cuci pinggan!" arahku kepadanya tanpa menoleh. Aku terus naik ke tingkat atas.
     " Yes, maam!" jawabnya sambil tergelak. Aku yang menapak sampai depan bilik, tersengih lebar sambil berjoget-joget. Yeah!! Akhirnya encik suami masukkan nama aku untuk berkursus. Hehe. Ini kalau dia tengok dah sah-sah aku kena bebel. Mom wanna be sedang menari-nari, memang nak kena getahlah! Haha.
                *********************************************************************************
     Kami tiba di kawasan parkir ofis pada pukul 9.15 pagi. Adam menyuruh aku menunggu di dalam kereta sementara dia naik ke ofis untuk mengambil beberapa dokumen kami. Sedang aku menanti, kelihatan kelibat Nadia dan Aziah sedang menanti berhampiran kereta Imran, Proton Inspira. Aku keluar terus menghampiri mereka.
     " Lah, ingatkan kau tak jadi pergi," kata Aziah sambil meletakkan beg bajunya dalam bonet kereta Imran. Nadia turut terkejut melihat aku.
     " Hah? Tak jadi? Aku pun baru tahu pagi tadilah!" jawabku.
     " Alahai mama ni, comel pulak aku tengok kau pakai blaus mengandung ni," sapa Imran dari belakangku. Aku tersengih.
     " Laki kaulah! Emel kat aku malam tadi kata kau tak jadi pergi," kata Nadia. Aku mengerutkan dahi.
     " Yang check emel tu, dia! Bukan aku! Aku tak buka emel langsung sepanjang aku bercuti, jadi kau jangan nak percaya sangat dengan bos senget korang tu," aku mengingatkan mereka. Sepuluh minit kemudian, Adam turun menghampiri kami.
     " Korang naik 1 kereta, share duit tol dan minyak. Balik nanti claim semula. Sampai di hotel nanti semua  tunggu saya di lobi," katanya. Kami saling bersalaman lalu aku dan Adam menuju ke keretanya. Kemudian perlahan kereta kami memasuki jalan besar dan terus menuju ke arah lebuhraya utara selatan. Dalam kereta, aku terlena sebab, aku ni pantang sangat nak berjalan jauh, mulalah mata aku kuyu bagai kena gam. Adam cuma menggeleng-gelengkan kepalanya, sambil memandu tenang.
     Dalam tidur-tidur ayam, sayup-sayup aku terdengar suara Adam mengalunkan lagu. Bila aku buka pendengaran dengan jelas, hatiku tersentuh. Adam bukan menyanyi lagu balada tetapi dia mengalunkan nasyid taubat, yang selalu aku dengar di iPhone miliknya. Suara Adam membuatkan hati wanitaku terusik. Begitu mengasyikkan. Kemudian dia bertukar mengalunkan surah-surah pendek di dalam perjalanan kami. Tak sangka encik suami aku ada kelebihan menghafal begini. Aku tenggelam dalam keasyikan mendengar suara merdunya mengalunkan surah Al-Quran, sehingga aku kembali terlena dengan tenang.
     Adam yang terus mengalunkan suaranya sesekali mengerling ke arah wajah isterinya yang semakin dekat di hatinya, sambil tersenyum. Tangannya menggenggam tanganku dengan erat.

Korang enjoy tak baca post ni? Kalo korang suka boleh LIKE ye.. Terima kasih... :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum...
Kalau cerita best komen laa sikit yer..

p/s : komen yang berunsur negatif tidak digalakkan.

Copyright @ Segala Yang Tercatat di atas Adalah Hak Milik : Miss Yatt Hashim